Ilmu itu cahaya dari ILAHI
Memancar keluar melahirkan amal
Memancar ke dalam menzahirkan iman
Bagai alam tanpa sinar mentari,
Gelap pekat hilanglah indah, sirnalah seri.
Begitulah hati tanpa ilmu,
Kontanglah ia daripada petunjuk ILAHI
Mati jasad kerana tiada roh
Mati roh kerana tiada ilmu
Mati ilmu kerana tiada amal
Mati amal kerana tiada ikhlas
Mendidik ketika kecil bagai melukis di atas batu,
Mendidik setelah dewasa bagaikan melukis di atas air
Ilmu itu penghias lidah
Orang berilmu bila bersuara, kata-katanya indah, penuh hikmah
Diamnya fikir, suaranya zikir
Budaya ilmu
Si miskin jadi mulia dengan ilmu
Si kaya jatuh dengan ketandusan ilmu.
Harta akan habis jika dibelanjakan,
Tapi ilmu semakin bertambah jika diamalkan.
Seseorang akan tetap menjadi orang alim, selama dia terus-menerus belajar.
Apabila dia telah tertipu dalam sangkaan bahawa dia telah pandai,
pada hakikatnya dia adalah bodoh.
Alam ini sebenarnya sebuah sekolah,
yang putaran bumi, penggantian malam dan siang,
kerlip cahaya bintang, sinar cahaya bulan, peredaran musim
dan berubahnya cuaca, adalah tanda-tanda kewujudan-Nya.
Allah mendidik manusia agar berfikir dan merasa,
Ingatlah Pemberi nikmat, jangan hanya terpesona dengan nikmat.
Mujahadah
Setitis ilmu Allah adalah lautan pada kedangkalan otak manusia.
Jika diraut pohon di seluruh benua dijadikan pena,
tidak akan terdaya kita menulis kalam TUHAN.
Semakin dibincangkan, semakin dalam pengertian.
Semakin dibongkar rahsia, semakin berliku misterinya.
“Semakin bertambah ilmuku,
terasa semakin banyak yang aku tidak tahu”
~ Imam Syafie ~
Ketika mayat dikambus tanah,
Dibaca talkin buat peringatan, ilmu terakhir disampaikan :
Siapa TUHANmu?
Jawablah : ALLAH! Dan datang lagi pertanyaan demi pertanyaan..
Bukan kekuatan akal dan kepetahan lidah jadi ukuran,
Tapi sejauh mana amal dan takwamu sebagai bekalan.
~ Ustaz Pahrol Mohd Juoi ~
No comments:
Post a Comment