Kehidupan memerlukan keinsafan. Bukan semua perselisihan, kemenangan mesti berpihak kepada kita. Kemenangan hakiki itu berpihak kepada yang benar. Kebenaran itu pula tertakluk kepada fakta yang benar. Oleh sebab itulah , insan-insan agung seperti Abu Bakar dan Umar memberikan ucapan yang hampir sama menyebut : “ Jika aku benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, betulkanlah aku.” Membetulkan semestinya dengan alasan yang benar, bukan fitnah dan pembohongan. Namun, apabila insan tidak insaf dia menolak kebenaran kerana ingin menjaga statusnya, sekalipun ternyata pendapatnya salah. Mungkin pernah kita mendengar manusia bongkak berbicara: “ Awak ini siapa hendak pertikaikan pendapat saya, saya ini ustaz!” atau “ saya ini tok guru “ atau “ saya ini menteri.” Lalu insan-insan bongkak seperti ini memejamkan mata dan memekakkan telinga daripada mendengar pendapat atau alasan orang lain, hanya kerana keegoan. Inilah manusia yang berkeras apabila berbalah. Kadangkala bagi mereka yang berkedudukan ini, ada pula pengampu-pengampu yang mempertahankan pendapat atau tindakan mereka yang salah itu.
Dalam kehidupan kekeluargaan pun, sikap seperti ini ada. Suami atau isteri apabila berselisih, enggan tunduk kepada kebenaran dan berkeras kepala sehingga ada yang menyebut: “ Engakau sesen pun tidak berguna untuk aku.” Padahal sudah berapa banyak faedah kehidupan yang dikecapi antara satu sama lain. Demikian juga suami isteri yang sudah bercerai. Entah berapa tahun sudah “tidur sekali”, tiba-tiba apabila bercerai mereka bagaikan musuh yang untuk mempertahankan agama. Segala-galanya ditafsirkan dengan penuh keburukan. Padahal bukan tidak ada hari-hari manis antara mereka. Walaupun berbalah, tetapi janganlah sampai memutuskan nilai-nilai persaudaraan dalam agama.
Terlalu mahal yang benar itu
hampir serlah tetapi keliru
tiba-tiba dilema menjelma
benarkah yang benar itu?
Diharungi pedihnya perjalanan
dihenyak kerasnya batu ujian
keluli waja segala nestapa
serpih dan hancur jiwa
namun yang benar tersasar jua
Terlalu mahal yang benar itu
orang bicara sejak lama
pertentangan demi pertentangan
terpagut segala rebut wacana
diragut semua minda sarjana
namun kebenaran…
tetap mahal harganya!

No comments:
Post a Comment