Wednesday, November 24, 2010

Ilmu itu cahaya dari ILAHI




Ilmu itu cahaya dari ILAHI
Memancar keluar melahirkan amal
Memancar ke dalam menzahirkan iman



Bagai alam tanpa sinar mentari,
Gelap pekat hilanglah indah, sirnalah seri.
Begitulah hati tanpa ilmu,
Kontanglah ia daripada petunjuk ILAHI


                                                                      Buya Hamka


Mati jasad kerana tiada roh
Mati roh kerana tiada ilmu
Mati ilmu kerana tiada amal
Mati amal kerana tiada ikhlas



Mendidik ketika kecil bagai melukis di atas batu,
Mendidik setelah dewasa bagaikan melukis di atas air



Ilmu itu penghias lidah
Orang berilmu bila bersuara, kata-katanya indah, penuh hikmah
Diamnya fikir, suaranya zikir

 Budaya ilmu

Si miskin jadi mulia dengan ilmu
Si kaya jatuh dengan ketandusan ilmu.
Harta akan habis jika dibelanjakan,
Tapi ilmu semakin bertambah jika diamalkan.


Seseorang akan tetap menjadi orang alim, selama dia terus-menerus belajar.
Apabila dia telah tertipu dalam sangkaan bahawa dia telah pandai,
pada hakikatnya dia adalah bodoh.




Alam ini sebenarnya sebuah sekolah,
yang putaran bumi, penggantian malam dan siang,
kerlip cahaya bintang, sinar cahaya bulan, peredaran musim
dan berubahnya cuaca, adalah tanda-tanda kewujudan-Nya.
Allah mendidik manusia agar berfikir dan merasa,
Ingatlah Pemberi nikmat, jangan hanya terpesona dengan nikmat.


 Mujahadah

Setitis ilmu Allah adalah lautan pada kedangkalan otak manusia.
Jika diraut pohon di seluruh benua dijadikan pena,
tidak akan terdaya kita menulis kalam TUHAN.
Semakin dibincangkan, semakin dalam pengertian.
Semakin dibongkar rahsia, semakin berliku misterinya.



“Semakin bertambah ilmuku,
terasa semakin banyak yang aku tidak tahu”
~ Imam Syafie ~





Ketika mayat dikambus tanah,
Dibaca talkin buat peringatan, ilmu terakhir disampaikan :
Siapa TUHANmu?
Jawablah : ALLAH! Dan datang lagi pertanyaan demi pertanyaan..
Bukan kekuatan akal dan kepetahan lidah jadi ukuran,
Tapi sejauh mana amal dan takwamu sebagai bekalan.



            ~ Ustaz Pahrol Mohd Juoi ~

Jangan Bongkak



      Kehidupan memerlukan keinsafan. Bukan semua perselisihan, kemenangan mesti berpihak kepada kita. Kemenangan hakiki itu berpihak kepada yang benar. Kebenaran itu pula tertakluk kepada fakta yang benar.   Oleh sebab itulah , insan-insan agung seperti Abu Bakar dan Umar memberikan ucapan yang hampir sama menyebut : “ Jika aku benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, betulkanlah aku.”  Membetulkan semestinya dengan alasan yang benar, bukan fitnah dan pembohongan. Namun, apabila insan tidak insaf dia menolak kebenaran kerana ingin menjaga statusnya, sekalipun ternyata pendapatnya salah.  Mungkin pernah kita mendengar manusia bongkak berbicara: “ Awak ini siapa hendak pertikaikan pendapat saya, saya ini ustaz!” atau “ saya ini tok guru “ atau “ saya ini menteri.”  Lalu insan-insan bongkak seperti ini memejamkan mata dan memekakkan telinga daripada mendengar pendapat atau alasan orang lain, hanya kerana keegoan. Inilah manusia yang berkeras apabila berbalah. Kadangkala bagi mereka yang berkedudukan ini, ada pula pengampu-pengampu yang mempertahankan pendapat atau tindakan mereka yang salah itu.
     Dalam kehidupan kekeluargaan pun, sikap seperti ini ada. Suami atau isteri apabila berselisih, enggan tunduk kepada kebenaran dan berkeras kepala sehingga ada yang menyebut: “ Engakau sesen pun tidak berguna untuk aku.” Padahal sudah berapa banyak faedah kehidupan yang dikecapi antara satu sama lain. Demikian juga suami isteri yang sudah bercerai. Entah berapa tahun sudah “tidur sekali”, tiba-tiba apabila bercerai mereka bagaikan musuh yang untuk mempertahankan agama. Segala-galanya ditafsirkan dengan penuh keburukan. Padahal bukan tidak ada hari-hari manis antara mereka. Walaupun berbalah, tetapi janganlah sampai memutuskan nilai-nilai persaudaraan dalam agama.

Terlalu mahal yang benar itu
hampir serlah tetapi keliru
tiba-tiba dilema menjelma
benarkah yang benar itu?

Diharungi pedihnya perjalanan
dihenyak kerasnya batu ujian
keluli waja segala nestapa
serpih dan hancur jiwa
namun yang benar tersasar jua

Terlalu mahal yang benar itu
orang bicara sejak lama
pertentangan demi pertentangan
terpagut segala rebut wacana
 diragut semua minda sarjana
namun kebenaran…
tetap mahal harganya!

Sunday, November 21, 2010

Bagaimana menghilangkan Marah



Sifat
pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan

kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.

Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah ? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair

"Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati

dari kata-kata "Barangkali" dan "Kalau".

Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu

melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un.". Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : " Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempat daging itu diletakkan dihadapan Qias, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais. Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman " Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi muali hari ini aku akan membebaskan kamu." Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia " tuan" kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Kita mesti ubati hati kita. Kita kita mesti membuangkan rasa rasa "ketuanan" kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi. Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s. w. t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya

lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan

yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu keranawudhu dapat menenangkan

api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah

tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada

tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan

kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.

Thursday, November 18, 2010

Sudahkah Kita bersedekah Hari Ini?


عن أبي موسى الأشعري قال, قال النبي صلى الله عليه وسلم : على كل مسلم صدقة, قالوا فإن لم يجد؟ قال, فيعمل بيديه فينفع نفسه ويتصدق. قالوا فإن لم يستطع أو لم يفعل؟ قال, فيعين ذا الحاجة الملهوف. قالوا فإن لم يفعل؟ قال, فيأمر بالخير أو قال بالمعروف. قالوا فإن لم يفعل؟ قال فيمسك عن الشّرّ فإنه له صدقة
 .
Dari Abu Musa al-‘Asyari r.a, katanya, Nabi s.a.w bersabda : “ Setiap orang Islam berkewajiban untuk bersedekah.” Para sahabat bertanya : kalau tidak ada sesuatu yang boleh disedekahkan? Nabi menjawab : “ Ia berusaha dengan kedua tangannya, lalu ia mendapat manfaat bagi dirinya dan dengannya ia bersedekah.” Mereka bertanya : kalau ia tidak sanggup atau tidak melakukannya? Nabi menjawab : “ Ia membantu orang yang menderita yang memerlukan bantuan. Mereka bertanya : kalau tidak dilakukannya? Nabi menjawab : “ Ia menyuruh melakukan kebaikan.” Mereka bertanya lagi : kalau ia tidak melakukannya? Beliau menjawab : “ Ia menahan diri untuk tidak melakukan kejahatan. Itu bereti sedekah bagi-Nya.” (Hadis Riwayat Bukhari)



   Maksud hadis ini jelas menunjukkan kepada kita bahwa amalan bersedekah amatlah dituntut. Hidup kita di dunia ini akan bermakna jika kita saling berbagi dan berkongsi. Terkadang seseorang memiliki sesuatu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Begitu juga sebaliknya, seseorang tidak memiliki sesuatu yang dimiliki oleh orang lain. Namun, dengan kehadiran Islam yang mengandungi pelbagai hikmah dan rahmat, dituntut kepada kita untuk bersedekah dengan kelebihan yang kita ada.

   Jika kita tidak mampu bersedekah dengan kelebihan harta yang kita ada, maka kita boleh memberikan sedekah dalam bentuk pertolongan yang pelbagai kepada orang lain. Seperti memberikan tunjuk ajar, pandangan dan sebagainya. Bukan pertolongan dalam bentuk material sahaja, tetapi fizikal dan idea juga dianggap sebagai sedekah.

Tak mampu juga?
 
   Kalau perkara yang diatas juga tidak mampu, maka kita boleh bersedekah dengan memerintah atau menyuruh orang lain berbuat kebaikan ‘ Amr bil Ma’ruf ’. rasanya ini paling mudah untuk dilaksanakan. 
 
Kalau tak mampu juga!

   Perkara terakhir yang Nabi jelaskan. Kita diperintah untuk menahan diri daripada melakukan kejahatan. Dari sekecil-kecil kejahatan hingga sebesar-besar kejahatan. Yang zahir mahupun yang tersembunyi. Kerana hal ini juga dianggap sebagai sedekah. Wallahua’lam.
Saya percaya, kebanyakan kita masih mampu untuk melaksanakan kesemua bentuk sedekah ini kecuali mungkin bahagian yang pertama. Kerana kelebihan itu tidak semua orang miliki. Maka, besedekahlah selagi ada kesempatan,kelebihan dan keupayaan. Kerana amalan inilah yang membolehkan kita memperolehi aset yang banyak dan berganda, sebagai bekalan untuk kita berhadapan dengan Rabbul jalil di akhirat kelak. Insyaallah…

   Dalam bersedekah, utamakan orang yang tesayang dan paling hampir dengan kita iaitu keluarga dan saudara-mara kita. Kerana mereka mempunyai hak yang lebih untuk mendapatkan kebaikan dari kita. Termasuk la disini mak dan pak ‘mertua’, adik, kakak dan abang ‘ipar’ kalau yang dah berkahwin. Mereka juga ada hak yang perlu kita berikan. Firman Allah :
ياأيها الذين ءامنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارًا

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kalian dan ahli keluargamu dari api neraka.”

Bahagia Bila Berdamping Denganmu…!


Amat dikagumi sifat orang mukmin, iaitu semua urusan yang menimpanya adalah baik. Dan tidaklah seorang mukmin itu kecuali kecuali apabila ia diberikan kebaikan, ia bersyukur lalu menjadi kebaikan baginya; dan bila ditimpa musibah keburukan ia bersabar dan menjadi kebaikan baginya”. (HR.Muslim)


Alangkah bahagia diri bila dapat berdamping dengan insan-insan yang memiliki sifat orang mukmin. Kehadirannya dapat menyinari kalbu yang selama ini kelam dari cahaya. Menjernihkan pandangan yang telah banyak dikotori dengan lumpur dosa. Siraman ilmunya dapat mengangkat kejahilan yang telah lama menyaluti diri. Ini semua antara nikmat yang diberikan Allah kepada mereka yang di pilih untuk meniti jalan hidayah-Nya.
Mukmin yang baik selalu merasakan ketenangan dalam hidupnya. Susah dan senang, semuanya baik. Bila diuji dengan nikmat, maka kesyukuran yang mula-mula dipanjatkannya. Kemudian digunakan nikmat itu sesuai dengan tujuan nikmat itu diberikan dan selalu diingatkan dirinya agar tidak leka dan lalai dengan nikmat yang diperolehinya. “Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah”. Dia juga sedar bahwa nikmat itu bukanlah ‘lesen’ untuk dia bersikap takabbur dan bakhil, kerana semua itu tidak lain hanyalah ujian untuk mengujinya. Selalu dilazimkan bibirnya untuk melafazkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Sulaima a.s ketika beliau dilimpahi dengan pelbagai nikmat, “ Ini (nikmat) adalah kurniaan dari Tuhanku, untuk menguji aku adakah aku menjadi seorang yang bersyukur atau seorang yang kufur”.
Begitu juga bila dia diuji Allah dengan kesusahan dan kepayahan, maka kesabaran menjadi benteng bagi ketahanan dirinya. Hakikatnya, musibah yang menimpa diri tidak pernah diharapkan dan diimpikan kehadirannya. Namun, apabila telah ditetapkan oleh Maha pengasih ia menjadi bahagian perjalanan hidup, maka diredhakannya. Tidak difikirkan olehnya musibah itu adalah kezaliman dan penganiayaan pada dirinya melainkan menjadi medan untuk diri mencungkil pelbagai rahsia dan nikmat yang ada disebaliknya. kesusahan dihadapinya dengan kesabaran dan kecekalan, begitu juga kesenangan yang menyusulinya kemudian, disyukuri dan diinsafinya.

Ancaman Daripada Segenap Sudut


Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut?
“ Jika mata kita selamat dari melihat aurat belum tentu telinga kita selamat dari mendengar orang mengumpat.”
“ Jika tangan kita bebas daripada mencuri, belum tentu kaki kita terhindar daripada melangkah ke tempat maksiat.”
“ Jika mulut kita bersih daripada yang haram, belum tentu kemaluan kita terhindar daripada dosa dan rangsangan.”
Musuh itu pasti menyerang daripada segenap sudut dan melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupakan nafsu yang ada di dalam dirimu atau godaan daripada luar.
Dalam dunia yang sedang kita jalani sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Semua perkara dan alat yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian akan diaplikasikan oleh musuh-musuh kita untuk melemahkan dan menghancurkan kita.
Hanya dengan melayari internet, kita terus terdedah kepada serangan tersebut sekalipun kita tidak berniat untuk melakukan kemungkaran. Apabila memandu melalui jalan-jalan di kota, kita terus dapat melihat serangan itu terpapar besar di papan-papan iklan. Wanita-wanita mendedahkan bahagian tubuhnya yang merangsang pemikiran lelaki.
Hanya dengan berjalan di sebuah pasaraya untuk membeli barangan keperluan, kita akan terlihat begitu banyak bentuk rangsangan yang merosakkan kekhusyukan ibadah kita. Bahkan hanya dengan memiliki telefon bimbit, sekian banyak ‘SMS’ yang masuk menawarkan aksi-aksi panas.
Serangan-serangan yang sedang kita hadapi ini sangat menyesakkan dada dan bukan sesuatu yang biasa. Setiap hari kita berhadapan dengannya tanpa diminta. Kita merasakan selamat kerana kita telah sebati di dalamnya. Boleh jadi juga kita sebenarnya telah kalah dan mungkin telah menjadi agen dalaman yang menyerang orang lain.

Kita sebenarnya tidak selamat jika kita hanya bertahan daripada satu sudut.

Kita memerlukan sistem pertahanan yang memelihara kita dari segenap sudut. Kita mesti menahan seluruh anggota yang mungkin diserang oleh musuh termasuk hati. Ya, sekalipun jasad kita selamat daripada benar-benar tewas, hati kita mungkin diserang penyakit yang sukar untuk diubati. Lebih teruk lagi kita gagal menyedari bahwa serangan-serangan itu wujud. Bahkan bertambah malang jika kita sudah tidak mahu bertahan lagi dan asyik dengan hidangan-hidangan yang dipaparkan kepada kita. Suatu hari kita pasti hancur bersamanya.
Ghazwul Fikri (serangan pemikiran) yang kita hadapi ini perlu ditentang dan dilawan secara berterusan. Walaupun kita belum mampu membangun sebuah gelombang atau sistem yang boleh menghancurkan serangan sedia ada. Bertahanlah daripada serangan dalam diri masing-masing.





“ Aku sudah cukup kuat, aku pasti selamat.”

“ Bagaimana dengan ibu dan ayah kita? Adik-beradik kita, anak dan isteri kita? Adakah kita ingin selamat seorang diri sedangkan Al-Quran memerintahkan untuk kita menjaga diri dan ahli keluarga kita daripada api neraka? “

Binalah kekuatan dalaman dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran bahwa kita tidak akan selamat jika kita tidak bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Boleh jadi hari ini kita dapat mengelak, namun esok engkau kita akan terkandas jua.”
Kekuatan iman dan takwa perlu digilap dan ditingkatkan supaya kita boleh bertahan dengan semua bentuk serangan. Kuncinya, bersabarlah kerana memang tak mudah.
“ Sedarlah bahwa kita ibarat hidangan di mata musuh kita, bila-bila masa kita akan diterkam dan dimusnahkan jika kita tidak berjaga-jaga. Ya, musuh yang boleh muncul daripada mana-mana sudut dalam apa jua keadaan. Bersedialah! “

Allah Mengajar Kita Melalui Musibah

“Kadang kala dengan kemenangan dan kesenanganlah, kita seringkali melupakan Allah. Sebaliknya, kegagalan, kepayahan dan kesusahanlah membuat kita kembali mendekati Allah,”
Begitulah dengan kehidupan ini. Kadagkala kejayaan dan kelebihan yang dimiliki dirasakan nikmat. Namun, sebenarnya adalah azab. Tetapi ada kalanya, di sebalik kekurangan dan kepayahan yang dirasakan beban, terdapat didalamnya nikmat yang Allah berikan.
Benar. Tabiat manusia hanya gemarkan kejayaan dan kelebihan. Tidak pernah berpandangan baik kepada kepayahan dan kegagalan. Sedangkan ia baik sebenarnya untuk kita. Namun, terlalu sekar untuk kita memandangnya.
Kegagalan mempunyai hikmah yang besar. Kata orang, rahmat di sebalik musibah itu adalah untuk memperbetulkan keburukan sikap seseorang. Jua, mengajarkan apa yang selama ini tidak diketahuinya. Mengubah kebodohan menjadi bijaksana. Melaluinya juga, kita melangsungkan perubahan dan proses kematangan mengajar kita. Tidak sia-sia sesuatu musibah itu berlaku. Asalkan kita tidak berputus asa mengharapkan rahmat Allah. “Paling penting, barangkali Allah mahu berikan kamu sifat sabar yang mungkin selama ini hilang dalam dirimu”.

“ Sometimes, by winning something it is not good for you.
But sometimes, by loosing something it is very good for you….”

Doa Ketika Dalam Kesulitan

عن ابن عباس قال كان اانبي صلى الله عليه وسلم يدعو عند الكرب يقول: لا إله إلاّ الله العظيم الحليم, لا إله إلاّ الله ربّ السموات والأرض وربّ العرش العظيم

Dari Ibnu ‘Abbas r.a , katanya : Nabi s.a.w berdoa ketika beliau berada dalam . Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan langit dan bumi, Tuhan ‘Arasy (singgahsana) yang Besar.” (Hadis Riwayat Bukhari)



Ya Allah! Ingatkanlah aku, keluargaku, saudaraku dan sahabat-sahabatku untuk sentiasa mengamalkan doa ini ketika kami menghadapi kesulitan hidup. Jangan dibiarkan kami mencari penyelesaian tanpa mendapat petunjuk hidayah-Mu.

Wednesday, November 17, 2010

Kecantikan Lelaki & Kegagahan Wanita


KECANTIKAN seorang lelaki bukan pada rupa fizikal tetapi pada murni rohani.
 Lelaki yang cantik adalah :-
1)    Lelaki yang mampu mangalirkan air mata untuk ingatan
2)   Lelaki yang sedia menerima segala teguran
3)   Lelaki yang memberi madu setelah menerima racun
4)   Lelaki yang tenang dan lapang dada
5)   Lelaki yang baik sangka
6)   Lelaki yang tak pernah putus asa
Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.

KEGAGAHAN seorang wanita bukan pada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan.
Perempuan yang gagah adalah :-
1)    perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan
2)   perempuan yang tidak takut pada kemiskinan
3)   perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan
4)   perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan.
Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Sayyidah Khadijah r.a adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.

Sunday, November 7, 2010

Sendirian

Sendirian…




Bila bersendirian, jangan rasa kesepian. Walau tanpa teman, kita tetap diperhatikan.

Dalam gelap atau terang, ada mata yang sentiasa jaga, melihat perlakuan dan rasa, mencatat dosa atau pahala.

Bila bersendirian jangan katakan “aku sunyi” , sebaliknya selalu bisikkan di dalam hati, pada diriku sentiasa ada pemerhati.

Bila bersendirian teruji keikhlasan, tanpa kejian atau pujian apakah terus ada kesetiaan.



     

Wednesday, November 3, 2010

Yang Menarik Kasihmu?

Wajah yang cantik dan indah mampu menawan hati seseorang. Melalui kemerduan suara, mampu menangkap minat dan cinta seseorang. Budi bahasa dan pekerti baik, mampu meraih perhatian dan kasih yang tulus. Ringan tulang, banyak membantu serta sentiasa mengambil berat terhadap masalah orang lain, akan menjadi benih sehingga tanpa sedar ia mengikat jiwa mereka yang dibantunya.


Walaupun belum benar-benar mengenali individu yang mempunyai sifat tadi, jiwa pasti akan tertarik sedikit demi sedikit. Jika benar cara pembawakannya, ia membawa kepada yang lebih baik, demikian juga sebaliknya. Para ahli muzik sama ada nasyid atau lagu dengan mudah mempunyai peminatnya sendiri. Semuanya kerana penangan suara, wajah dan mungkin semakin mendalam setelah mengenali budi pekerti dirinya.

Kitakah Itu?

Sedarkah kita bahawa semua itu hanyalah secebis zarah daripada keindahan ALLAH, pemilk segala sesuatu. Imam Abu Hamid al-Ghazali ketika mengulas bab cinta ALLAH dan Rasul dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin menegaskan, faktor-faktor biasa yang disebutkan di atas menjadikan manusia jauh hati, kasih dan cinta kepada manusia lain, hingga adakalanya melampaui batasan.

Namun, bagaimanakah kita terlupa bahawa ALLAH mempunyai segala sesuatu sebab musabab untuk manusia jatuh kasih kepada-NYA…! Pun begitu, kita sering terhalang dek kelebihan manusia.

Jika kecantikan dan indah menjadi puncanya, maka ALLAH adalah yang terindah. Keindahannya terzahir daripada makhluk-NYA .

Jika banyak membantu menjadi sebabnay,maka ALLAH Maha membantu. Udara yang disediakn, matahari yang memancar, alam yang penuh dengan rezeki serta nikmatnya.



Demikian juga Rasulullah s.a.w yang menjalankan tugasnya sebagai pesuruh ALLAH bertungkus lumus membantu kita agar terselamat di alam barzakh dan akhirat.tidak terhutang budikah kita dengan kesungguhannya?



ALLAH dan Nabi Muhammad s.a.w, paling layak menerima kasih dan cinta kita. Namun, kelemahan kita sering gagal memujuk hati kita untuk jatuh kasih kepada-NYA. Akibat dihalang oleh tembok besar dunia, tembok besi kejahilan dan tembok penipuan yang dipasang syaitan.


Thursday, October 28, 2010

Masalah Hidup

   Pernahkah anda menghadapi masalah hidup? Sudah tentu pernah bukan? Tiada seorang pun yang terkecuali dari menghadapi masalah dalam hidupnya… bukan sahaja pernah malah setiap waktu, kita sering di datangi persoalan dan masalah hidup. Bukankah begitu?  Adakah  di antara para pembaca sekalian yang sepanjang hidupnya tidak pernah menghadapi masalah? tentunya tidak ada.. satu-satunya tempat di mana manusia tidak akan berhadapan dengan masalah hanyalah di syurga. sementara di dunia ini, masalah merupakan sahabat karib yang selalu menemani perjalanan hidup kita. sejak lahir ke dunia ini, kita sudah menghadapi masalah.bayi yang ke dunia, sebagaimana ibu yang melahirkannya akan merasa sakit dan keadaan tidak selesa yang akan membuatnya menangis. Pada detik-detik pertama kehidupannya di dunia, manusia sudah berhadapan dengan masalah. begitu juga dengan hari-hari seterusnya, manusia akan sentiasa berdepan dengan masalah yang melanda di sana-sini.
   Sewaktu kecil dia merasa lapar, dahaga dan tidak mampu bergerak untuk mengambil makanan mahupun minuman sendiri. Dia belajar berjalan dan terjatuh, dia menginginkan sesuatu tapi tidak mampu menyatakan keinginannya dengan kata-kata. Semuanya merupakan masalah. Ketika memasuki alam persekolahan.................

Wednesday, October 6, 2010

PEMIKIRAN SALAFIYAH


Oleh: Dr Farouk Musa - Monash University

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh seraya berkata : Sesungguhnya aku adalah salah seorang MUSLIM” [41:33]

Sesiapa sahaja yang memerhatikan perkembangan dakwah yang berlaku di kalangan umat ketika ini terutamanya dalam masyarakat di tanah air pasti akan mempersoalkan apakah itu yang di namakan “Salafiyah”. Tidak dapat dinafikan sesungguhnya aliran pemikiran Salafiyah memainkan peranan penting dalam masyarakat Islam sekarang memandangkan dakwah Salafiyah jelas memberi kesan yang kuat di dalam hati orang-orang Islam. Hal ini antara lain adalah disebabkan mereka yang beriman akan merasa tertarik kepada asas-asas aqidah yang murni ini kerana kemurnianlah yang menjadi satu-satunya asas yang patut dijadikan landasan bagi mana-mana aqidah yang diinginkan kekal sepanjang masa.

Namun kita juga sedar akan pertelingkahan yang timbul akibat daripada sikap para penyeru kepada dakwah salafiyah ini. Sesungguhnya malapetaka yang paling besar bagi umat Islam ialah perpecahan dan perselisihan. Faktor yang membantu kemenangan umat Islam pula ialah kasih saying dan perpaduan. Generasi akhir ini hanya akan mampu dibaiki dengan apa yang digunakan untuk memperbaiki generasi pertama. Hal ini adalah kaedah asas dan juga matlamat yang diketahui oleh setiap saudara seIslam. Ia adalah sesuatu yang kita yakini, kita perjuangkan dan kita seru.


Apakah yang dimaksudkan dengan Salafiyah?

Daripada segi bahasa, Salafiyah dinisbahkan kepada salaf, dan perkataan salaf adalah satu istilah yang penuh misteri. Salaf seringkali diertikan sebagai generasi yang terdahulu iaitu generasi awal Islam. Bukanlah menjadi hasrat kami untuk memperbincangkan epistemologi Salafiyah kerana ia akan melibatkan huraian yang sangat panjang. Masalah ini telahpun dikesan oleh Dr. Muhammad Amarah di mana beliau menyebut di dalam bukunya ‘Tayyarat al-Fikr al-Islamiy’: “Sesungguhnya perkara yang terdahulu yang diikuti masih tidak terhad kerana ianya sendiri tidak berbilang, adakah ia Qur’an dan Sunnah? Atau termasuk di dalamnya makthurat yang diriwayatkan daripada sahabat? Adakah ia nas-nas itu saja atau termasuk juga di dalamnya mazhab-mazhab Tabi’in dan Tabi'-Tabi’in. Kalau kita katakan bahawa Salaf adalah Qur’an dan Sunnah bagaimana pula halnya dengan manhaj-manhaj mufassirin. Kalau kita katakan bahawa Salaf adalah kata- kata sahabat dan tabi’in,
maka kita sedia maklum bahawa kata-kata mereka dan mazhab- mazhab mereka bukan satu bahkan ada yang bertentangan. Oleh sebab itu, kita tidak mempunyai satu mazhab tertentu yang boleh kita namakan dengan mazhab Salaf. Setelah menghuraikan masalah ini dengan panjang lebar, Dr. Muhammad Amarah menerangkan bahawa Salafiyah adalah fenomena yang lahir daripada aliran pemikiran pimpinan Imam Ahmad bin Hanbal. Apa yang nyata daripada kata-kata ini ialah Dr. Muhammad Amarah berpendapat Salafiyah adalah mazhab Ahmad bin Hambal dan salafiyyun adalah mereka yang mengikuti mazhab Hanbali.

Huraian Dr Muhammad Amarah ini telah diperjelaskan lagi oleh al-Imam Dr Muhammad Abu Zahrah di dalam ‘Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah’, sebuah buku yang tersangat penting untuk dikaji dan wajib dibaca oleh mereka yang bergerak di jalan dakwah, terutama oleh golongan yang mendakwa diri mereka sebagai ‘Salafi’. Antara lain beliau memperjelaskan bahawa aliran Salafiyah yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal ini telah diperkembangkan semula oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah beberapa kurun sesudah itu.

Adapun Syeikh Muhammad al-Ghazali mempunyai pandangan yang berbeza. Salafiyah menurut beliau adalah aliran pemikiran dan perasaan yang berhubung kait dengan kurun yang baik, kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap al-Qur’an dan as-Sunnah, serta kesungguhan mengumpulkan usaha-usaha umat sama ada berbentuk material atau spiritual demi menegakkan kalimah Allah tanpa membezakan warna kulit dan keturunan. ‘Salafiyyun’ bukanlah kumpulan tertentu yang menghuni kawasan tertentu di negara Arab dan hidup dengan cara yang tertentu. Sheikh Muhammad al-Ghazali selanjutnya menghuraikan di dalam bukunya ‘Dustur al-Wihdat al-Thaqaffiyyah baina al- Muslimin’ bahawa ada orang yang memahami Salafiyah sebagai feqah Ahmad bin Hanbal, ataupun Salafiyah itu adalah satu aliran yang terikat dengan ‘nas’ yang bersikap literal dalam penafsirannya. Menurut beliau, Salafiyah juga bukan dengan kembali kepada yang terdahulu di mana banyak terdapat perkara-perkara yang remeh-temeh yang sepatutnya lenyap di zaman itu juga. Salafiyah menurut tafsiran beliau adalah satu nama yang besar bagi hakikat yang besar yang asasnya adalah akal yang bebas mengkaji dan aktif, walaupun paksinya tetap merupakan al-Qur’an dan as-Sunnah. Akal yang bebas lagi merdeka inilah yang membuatkan mereka yang berada di atas landasan Salafiyah berupaya untuk menterjemah tuntutan nas berdasarkan maqasid atau tujuan yang hendak dicapai daripada nas tersebut. Akal yang bebas dan merdeka inilah yang telah mengangkat darjat manusia mengatasi segala makhluk termasuklah mengatasi para malaikat yang suci berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 31-33.

Sheikh Muhammad al-Ghazali melihat Salafiyah sebagai suatu aliran pemikiran dan perasaan yang menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai sumber kekuatannya, namun memberikan ruang yang luas kepada akal yang rasional. Sebenarnya bukanlah beliau seorang sahaja yang melihat Salafiyah sebagai aliran pemikiran, ramai lagi yang lain kebanyakannya daripada Madrasah al-Imam Muhammad Abduh; seperti Allamah Sayyid Rasyid Ridha, Syeikh Muhammad al-Khudari, Syeikh Mustafa al-Maraghi, Syeikh Jamaluddin al-Qasimi, Syeikh Mahmud Shaltut, Muhammad Abdullah Diraz, Muhammad al- Baki, Muhammad al-Madani, Imam Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Yusuf al-Qaradawi dan terlalu ramai para ulama yang seperti mereka. Sesungguhnya aliran ini bernama Salafiyah tetapi mereka memberikan banyak ruang kepada akal, berlainan dengan “Salafiah Nususiah” yang diketuai oleh Sheikh Muhammad Abdul Wahhab yang mempelopori aliran literalis. Kedua golongan ini mempunyai pandangannya masing-masing mengenai Salafiyah. Salafiyah pada pandangan Imam Muhammad Abduh ialah aliran pemikiran yang bersandar kepada al-Quran dan as-Sunnah serta kemerdekaan akal sebagaimana yang telah dihuraikan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali. Hal keadaan yang sama telah dimaksudkan oleh al-Imam asy-Syahid Hassan al-Banna apabila beliau menyatakan bahawa dakwah al-Ikhwan al-Muslimun adalah dakwah Salafiyah. Beliau yang merupakan murid kepada Allamah Sayyid Rasyid Ridha telah meneruskan dakwah Salafiyah yang merupakan manhaj al-Ikhwan al-Muslimun dari dahulu hingga ke hari ini. Maka amat hairanlah kita apabila melihat al-Ikhwan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai ‘Salafi’.


Kriteria Manhaj Salafi yang Benar

Yang dimaksudkan dengan perbincangan kita tentang “Pemikiran Salafiyah" di sini ialah kerangka berfikir (manhaj fikri) yang tercermin melalui pemahaman generasi terbaik daripada ummat ini, yakni para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan setia, dengan mempedomani hidayah al-Qur'an dan tuntunan Nabi SAW.

As Syeikh Yusf al-Qaradawi telah menghuraikan di dalam bukunya ‘Aulawiyaat al-Harakah al-Islamiyah fil Marhalah al-Qadimah’ tentang beberapa perkara asas yang menjadi pokok kepada apa yang dikenali sebagai “manhaj Salafiyah”.

Manhaj Salafiyah adalah suatu manhaj yang secara global berpijak kepada prinsip-prinsip yang berikut :

1. Berpegang pada nas-nas yang sahih, bukan bertaqlid atau mengutamakan pendapat para ahli, tokoh mahupun ulama’ mengatasi nas yang jelas.

2. Mengembalikan masalah-masalah "mutasyabihat" (yang kurang jelas) kepada masalah "muhkamat" (yang pasti dan tegas). Dan mengembalikan masalah yang zhanni kepada yang qath'i.

3. Memahami kes-kes furu' (ranting) dan juz'i (tidak prinsipal), dalam kerangka prinsip dan masalah fundamental.

4. Menyerukan "Ijtihad" dan pembaruan (Tajdid). Memerangi "Taqlid" dan kebekuan.

5. Mengajak untuk beriltizam (memegang teguh) dengan akhlak Islamiah, bukan meniru perlakuan jahiliyah.

6. Dalam masalah fiqh, berorientasi pada "kemudahan" (fiqh taysir) dan bukan "mempersulit".

7. Dalam hal tarbiyyah dan tasfiyyah, lebih menggemarkan serta memberikan motivasi dan bukan menakut-nakuti.

8. Dalam bidang aqidah, lebih menekankan penanaman keyakinan, bukan dengan perdebatan yang berleret-leretan yang tidak menambahkan iman.

9. Dalam masalah Ibadah, lebih mementingkan jiwa ibadah, bukan sifat formalitinya.

10. Menekankan sikap "ittiba'" (mengikuti nas) dalam masalah agama. Dan menanamkan semangat "ikhtira'" (kreativiti dan daya cipta) dalam masalah kehidupan duniawi yang memerlukan akal yang bebas lagi merdeka.

Inilah intipati "manhaj salafiyah" yang merupakan ciri khusus kepada aliran ini. Dengan manhaj inilah terbinanya generasi Islam yang terbaik baik daripada segi teori dan mahu pun praktik sehingga melayakkan mereka mendapat pujian langsung daripada Allah di dalam al-Qur'an dan Hadis-Hadis Nabi serta dibuktikan kebenarannya oleh sejarah. Merekalah yang telah berhasil menterjemahkan al-Qur'an dalam kehidupan generasi sesudah mereka. Mereka mengerti kehendak as-Sunnah dalam peribadatan dan kepentingan akal dalam kehidupan seharian. Mereka mempelopori berbagai kemenangan serta menyebarluaskan keadilan dan ihsan. Mereka mendirikan "negara ilmu dan iman". Mereka membangun peradaban rabbani yang manusiawi, dan merupakan contoh masyarakat madani. Bahkan, segala pencapaian mereka masih tercatat di dalam sejarah hingga ke hari ini.


Citra "Salafiyah" dirosakkan oleh mereka yang mendokong dan mereka yang menentangnya.

Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, istilah "Salafiyah" ini telah dirosakkan citranya oleh kedua-dua golongan yang mendokong dan menentang. Orang-orang yang mendokong manhaj Salafiyah - baik yang selama ini dianggap orang dan menamakan diri mereka sedemikian, atau yang sebahagian mereka yang dianggap memahami konsep Salafiyah - telah membatasinya dalam skop formaliti dan kontroversi sahaja, seperti masalah-masalah tertentu dalam Ilmu Kalam, Ilmu Fiqh atau Ilmu Tasawuf. Mereka tersangat keras dan garang terhadap orang lain yang berbeza pendapat dengan mereka dalam masalah-masalah kecil dan tidak prinsipal ini. Sehingga memberi kesan kepada sesetengah orang bahwa manhaj Salafiyah adalah merupakan metodologi "debat" dan "polemik", bukan manhaj yang konstruktif dan praktikal. Dan juga memberi kesan bahawa yang dimaksudkan dengan "Salafiyah" ialah mempersoalkan perkara yang kecil dan remeh dengan mengorbankan hal-hal yang yang pokok dan mendasar. Mereka mempermasalahkan khilafiah dengan mengabaikan masalah-masalah yang disepakati. Mereka mementingkan formaliti dan kulit dengan melupakan inti dan jiwa. Kita melihat di negara kita betapa obsesnya mereka dengan janggut, isbal dan niqab seakan-akan yang demikian itu menjadi lambang Salafiyah.

Sedangkan pihak yang menentang Salafiyah menuduh faham ini sebagai kefahaman yang "mundur", senantiasa menoleh ke belakang, tidak pernah memandang ke hadapan. Faham Salafiyah, menurut mereka, tidak memberi perhatian terhadap hal ehwal masa kini dan masa depan. Golongan Salafiyah ini juga dilihat sangat fanatik terhadap pendapat sendiri, tidak mahu mendengar suara dan pendapat orang lain. Salafiyah membawa pengertian anti pembaharuan atau permodenan, mematikan kreativiti dan daya cipta. Salafiyah juga merupakan suatu bentuk pemikiran yang ekstrim, yang tidak mengenal apa itu moderat dan pertengahan.

Kata Syeikh Yusuf al-Qaradawi lagi, sebenarnya tuduhan-tuduhan ini merosak citra Salafiyah yang hakiki dan penyeru-penyerunya yang asli. Barangkali tokoh yang paling menonjol dalam menyebarkan "Salafiyah" dan membelanya bermati-matian pada masa lampau ialah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berserta muridnya Imam Ibnul Qayyim. Mereka inilah orang yang paling layak mewakili gerakan"pembaruan Islam" pada masa mereka kerana pembaharuan dan tajdid yang mereka lakukan benar-benar meliputi seluruh disiplin ilmu Islam.

Mereka telah menumpaskan faham "taqlid", fanatik madzhab fiqh dan ilmu tasawuf yang menyeleweng yang telah mendominasi dan mengekang pemikiran Islam selama beberapa abad. Namun, di samping kegarangan mereka dalam membasmi "ashabiyah madzhabiyah" ini, mereka tetap menghargai para Imam Madzhab dan memberikan hak-hak mereka untuk dihormati. Hal itu jelas terlihat dalam risalah "Raf'ul - malaam 'anil - A'immatil A'lam" karya Ibnu Taimiyah.

Demikian juga hebatnya serangan mereka terhadap "tasawuf" kerana penyimpangan-penyimpangan pemikiran dan aqidah yang menyebar di dalamnya. Khususnya di tangan para pengasas madzhab "Al-Hulul Wal-Ittihad" (penyatuan). Dan penyelewengan perilaku yang dilakukan para orang jahil dan yang menyalahgunakan "tasawuf" untuk kepentingan peribadinya. Namun, mereka menyedari akan tasawuf yang benar lagi sahih. Mereka memuji para pemuka tasawuf yang ikhlas dan rabbani. Bahkan dalam bidang ini, mereka meninggalkan warisan yang sangat berharga, yang tertulis dalam dua jilid kitab daripada "Majmu' Fatawa" karya besar Imam Ibnu Taimiyah. Demikian pula dalam beberapa karangan Ibnu-Qayyim. Yang termasyhur ialah "Madarijus Salikin syarah Manazil as-Sairin ila Maqomaat Iyyaka Na'budu wa-Iyyaka Nasta'in", dalam tiga jilid.


Mengikut Manhaj Salaf Bukan Sekadar Ucapan Mereka

Syeikh Yusuf al-Qaradawi menekankan bahawa mengikut manhaj Salaf, tidaklah bererti sekadar menuruti ucapan-ucapan mereka dalam masalah-masalah kecil tertentu. Adalah suatu hal yang mungkin terjadi, anda mengambil pendapat-pendapat Salaf dalam masalah yang juz'i, sedangkan pada hakikatnya anda telah meninggalkan manhaj mereka yang universal, integral dan seimbang. Sedangkan apa yang lebih wajar, anda memegang teguh manhaj mereka yang kulli (universal), jiwa dan tujuan-tujuannya, walaupun anda menyalahi sebagian pendapat dan ijtihad mereka.

Inilah sikap saya secara peribadi terhadap kedua Imam tersebut, yakni Imam Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim, kata Syeikh Yusuf al-Qaradawi. Saya sangat menghargai manhaj mereka secara global dan memahaminya. Namun, ini tidak bererti bahawa saya harus mengambil semua pendapat mereka. Jika saya melakukan hal itu bererti saya telah terperangkap dalam "taqlid" yang baru. Dan bererti telah melanggar manhaj yang mereka pegang dan perjuangkan sehingga mereka disiksa kerananya iaitu manhaj "nalar" dan "mengikuti dalil". Melihat setiap pendapat secara objektif, bukan memandang orangnya. Apa ertinya anda mengkritik orang lain yang bertaqlid kepada Imam Abu Hanifah atau Imam Malik, jika anda sendiri bertaqlid kepada Ibnu Taimiyah atau Ibnul Qayyim.

Juga termasuk dalam perbuatan menzalimi kedua Imam tersebut jika hanya disebutkan sumbangan mereka daipada segi ilmiah dan pemikiran dan mengabaikan sudut-sudut lain yang tidak kurang pentingnya daripada yang pertama. Sering kita terlupa sisi Rabbani daripada kehidupan Ibnu Taimiyah yang pernah menuturkan kata-kata: "Aku melewati hari-hari dalam hidupku di mana suara hatiku berkata, kalaulah yang dinikmati ahli syurga itu seperti apa yang kurasakan, pastilah mereka dalam kehidupan yang bahagia".

Di dalam sel penjara dan penyiksaannya, beliau pernah mengatakan: "Apakah yang hendak dilakukan musuh terhadapku? Sekiranya aku di penjara, maka aku berkhalwah, sekiranya aku di buang daerah, maka aku melakukan rehlah, dan jika aku dibunuh nescaya aku menikmati syahadah".

Beliau adalah seorang lelaki rabbani yang mempunyai kekuatan rohani. Demikian pula muridnya Ibnul Qayyim, dan hal ini dapat dirasakan oleh semua orang yang membaca kitab-kitabnya dengan hati yang terbuka.

Namun, orang seringkali melupakan, segi "dakwah" dan "jihad" di dalam kehidupan dua orang Imam tersebut. Imam Ibnu Taimiyah terlibat langsung dalam beberapa medan pertempuran dan bertindak sebagai penggerak kebangkitan umat. Kehidupan kedua-dua tokoh itu penuh diwarnai perjuangan dalam memperbaharui seruan Islam. Mereka dihumban ke dalam penjara beberapa kali kerana usaha pembaharuan yang dilakukan. Akhirnya Syaikhul Islam mengakhiri hidupnya di dalam penjara, pada tahun 728 H. Inilah makna "Salafiyah" yang sebenarnya.

Berkata Syeikh Yusf al-Qaradawi lagi, apabila kita mengalihkan pandangan ke zaman sekarang, kita akan bertemu tokoh yang paling menonjol yang mendakwahkan "Salafiyah", dan paling gigih mempertahankannya menerusi artikel, kitab karangan dan majalah pembawa misi "Salafiyah", ialah Imam Muhammad Abduh dan muridnya Allamah Sayyid Muhammad Rasyid Ridha. Menerusi majalah "Al-Manar' dalam tempoh lebih tiga puluh tahun telah membawa "bendera" Salafiyah ini. Syeikh Rasyid Ridha kemudiannya menulis Tafsir "Al-Manar" hasil daripada pengajian tafsir yang dipelajari daripada gurunya Imam Muhammad Abduh, dan dimuatkan di dalam majalah yang sama, yang telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia hinggalah ke nusantara ini. Menerusi “Al-Manar”lah, tumbuhnya gerakan Salafiyah di nusantara ini dengan para pemimpinnya seperti Ustaz Ahmad Dahlan dengan “Muhammadiyyah”nya, Syeikh Ahmad Surkati dengan “Al-Irsyad”nya, dan Ustaz A. Hassan dengan “Persatuan Islam”nya. Begitu juga dengan para tokoh ilmuan daripada kalangan mufassir dan muhaddith seperti Prof Hasbi as-Siddiqui. Gema Salafiyyah yang dicanangkan oleh Imam Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha itu juga disambut oleh para ulama’ di Tanah Melayu yang bangun memperjuangkan risalah Tauhid dan menggerakkan Tajdid seperti Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi.

Imam Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha adalah para “Mujaddid” Islam pada masanya. Barangsiapa yang membaca tafsir al-Manar dan buku-bukunya, seperti "Al-Wahyu Al-Muhammadi", "Yusrul-Islam", "Nida' Lil-Jins Al-Lathief", "Al-Khilafah", "Muhawarat Al-Mushlih wal-Muqollid" dan sejumlah kitab dan makalah-makalahnya, akan melihat bahawa pemikiran para tokoh ini benar-benar merupakan "Manar" yang memberi petunjuk dalam perjalanan Islam di masa moden. Kehidupan amali mereka merupakan bukti bagi pemikiran "Salafiyah" yang mereka terokai.

Rasyid Ridhalah yang merumuskan suatu kaedah "emas" yang terkenal dan kemudiannya dilanjutkan oleh Imam Hasan al-Banna iaitu kaedah :

"Marilah kita saling bekerja sama dalam hal-hal yang kita sepakati. Dan marilah kita saling memaafkan dalam masalah-masalah yang kita berbeza pendapat."

Betapa indahnya kaedah ini jika difahami dan diterapkan oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai "Salafi”.


Penutup

Saya menyeru kepada semua yang berada di atas landasan dakwah agar mengelakkan diri kita daripada cepat menuduh orang lain yang bebeza pendapat dengan kita dengan tuduhan “LIBERAL” dan sebagainya. Ingatlah pesanan asy-Syahid Imam Hassan al-Banna: “Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa yang memberi kebaikan”. Dan nasihatnya lagi: “Sesungguhnya kewajipan-kewajipan kita adalah lebih banyak daripada masa yang ada pada kita; oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya”.


Saturday, March 13, 2010

SEKADAR MENGINGATi PADA YG MASIH LUPA..

Dosa itu datang tanpa disedari

menerpa,menyelak, membuang yg biasa

rasa seronok menyelimuti diri

lupa dunia lupa semua

dada mengembang bahu membidang

jalan menegak wajah mendongak

sombong...angkuh...memakai sifat yang Esa



bukan mengukur pada diri yg kerdil

tidak juga faham badan yang ditakdir

tiada kuasa juga tiada daya

punah dan binasa baru terasa

untuk apa?

sudah terlambat

jika dunia diputar semula

dosa itu juga yg kau lumuri

perangai manusia adat terbiasa



bukankah kini Islam kembali asing...

tidak sama tidak juga serupa

begitu anggun dan indah peribahasa

di tengah tamaddun yg kembali ke asal lama

terindah wajah cerah dek wudu' menghias rupa

siapa?

Mana?

Masihkah ada????

Dosa itu datang tanpa disedari

menerpa,menyelak, membuang yg biasa

rasa seronok menyelimuti diri

lupa dunia lupa semua

dada mengembang bahu membidang

jalan menegak wajah mendongak

sombong...angkuh...memakai sifat yang Esa



bukan mengukur pada diri yg kerdil

tidak juga faham badan yang ditakdir

tiada kuasa juga tiada daya

punah dan binasa baru terasa

untuk apa?

sudah terlambat

jika dunia diputar semula

dosa itu juga yg kau lumuri

perangai manusia adat terbiasa



bukankah kini Islam kembali asing...

tidak sama tidak juga serupa

begitu anggun dan indah peribahasa

di tengah tamaddun yg kembali ke asal lama

terindah wajah cerah dek wudu' menghias rupa

siapa?

Mana?

Masihkah ada????